Sunday 11 December 2011

Seseorang yang tidak ada wudhu’ disebut berhadas kecil. Untuk menyucikan diri darinya ialah dengan mengambil wudhu’ dengan rukun-rukun dan cara yang telah ditentukan.
Rukun wudhu’
Rukun mengambil wudhu’ ada 6 perkara iaitu;
  1. Niat mengerjakan fardhu wudhu’ ketika mulai membasuh sebahagian dari muka. Lafaz niatnya iaitu;
Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah (SWT)Ta‘ala”.

atau
Maksudnya: “Sahaja aku berwudhu’ kerana Allah (SWT) Ta‘ala”.

2. Membasuh muka. Kawasannya ialah dari anak rambut kepala hingga ke bawah dagu (panjangnya),  daripada anak telinga kanan hingga anak telinga kiri (lebarnya).
3. Membasuh kedua tangan  hingga ke kedua sikunya.
4. Menyapu sebahagian dari kepala.
5. Membasuh kedua kaki hingga ke buku lali.
6. Tertib (mengikut susunan yang telah diatur oleh syara’ seperti di atas).
Wudhu’ seseorang yang tertinggal salah satu rukun yang tersebut di atas  adalah tidak sah.

Sunat-sunat yang dituntut ketika berwudhu’
Mereka yang mengambil wudhu’ disunatkan mengerjakan sekali perkara-perkara di bawah ini bagi menyempurnakan wudhu’nya dan menambah pahalanya;
  1. Bersugi – menggosok gigi.
  2. Mengadap kiblat.
  3. Membaca Basmalah.
  4. Membasuh dua tapak tangan hingga ke pergelangannya.
  5. Berkumur-kumur.
  6. Memasukkan air ke hidung dan menghembuskannya keluar.
  7. Menyapu seluruh kepala.
  8. Menyapu kedua telinga luar dan dalam.
  9. Menyelat-nyelat janggut yang lebat.
  10. Menyelat-nyelat anak jari tangan dan kaki.
  11. Mendahulukan yang kanan dari yang kiri.
  12. Meniga-nigakan basuh dan sapu pada anggota-anggota wudhu’ yang telah disapu dan dibasuh.
  13. Mualat (berturut-turut), tidak diselangi oleh perceraian masa yang lama antara satu anggota dengan anggota yang lain.
  14. Membaca doa selepas wudhu’ disempurnakan.
Lakukanlah solat sunnat wudhu’ dua raka’at.

Peringatan menggunakan air untuk berwudhu’
Cara menggunakan air ketika berwudhu’  ialah dengan dijirus atau disiram sama ada dengan gayung atau cerek atau menadah dari paip air . tidak sah wudhu’ jika dengan cara memasukkan tangan ke dalam satu baldi air, dan dengan air itu juga untuk membasuh muka, tangan menyapu rambut dan membasuh kaki kecuali jika di dalam laut atau sungai yang banyak airnya.
Sukatan air wudhu’ – air untuk mengambil wudhu’ sekali untuk seseorang dikadarkan oleh syara’ satu cupak air sahaja, dan makruh jika dilebihkan dari kadar tersebut.

DOA WUDHU’
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah (SWT) yang Esa, tidak ada yang menyekutuiNya dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hambaNya dan utusanNya. Ya Allah (SWT), jadikanlah aku daripada orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dari orang yang menjaga kebersihan, dan jadikanlah aku dari hambaMu  yang soleh. Maha Suci Engkau ya Allah (SWT)dengan segala kepujianMu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku memohon ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah (SWT)rahmati serta sejahterakan junjungan kami Nabi Muhammad , ahli keluarga dan sahabatnya sekelian”.

Hal-hal yang Membatalkan Wudhu’
1. Keluar sesuatu dari “dua pintu” belakang seperti buang angin (kentut), buang air besar atau kecil, haid atau nifas, dan sebaganya.
2. Hilang akal (kerana sakit, mabuk, gila dan sebagainya) .
3. Bersetubuh
“Manakala seorang muslim atau mukmin itu berwudhu, lalu ia membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya itu semua dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan yang terakhir dari air. Manakala ia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah (terusir) semua dosa yang tersentuh oleh kedua tangannya bersama air atau bersama-sama dengan titisan terakhir dari air. Manakala ia membasuh kedua kakinya, maka sirnalah semua dosa yang pernah dijalani oleh kakinya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir, sehingga keluar (selesailah) dalam keadaan bersih dari dosa-dosa.” (Hr Imam Muslim dari Abu Hurairah).

No comments:

Post a Comment