Sunday 11 December 2011

HADAS KECIL
Pengertian hadas kecil
Erti hadas kecil menurut istilah syara’ ialah sesuatu kotoran yang maknawi (tidak dapat dilihat dengan mata kasar), yang berada pada anggota wudhu’, yang menegah ia dari melakukan solat atau amal ibadah seumpama solat, selama tidak diberi kelonggaran oleh syara’. Hadas kecil ini tidak akan terhapus melainkan dengan mengambil wudhu’ yang sah. Selama mana seseorang itu dapat mengekalkan wudhu’nya, maka selama itu ia bersih dari hadas kecil. Sebabnya dinamakan hadas kecil ialah kerana kawasan yang didiami oleh hadas kecil ini kecil sahaja iaitu sekadar anggota wudhu’.


Perkara-perkara yang menyebabkan kedatangan hadas kecil (membatalkan wudhu’)
Wudhu’ seseorang itu akan terbatal dengan salah satu dari 5 sebab berikut;
  1. Keluar sesuatu dari 2 jalan iaitu qubul atau dubur seperti kencing, berak atau buang angin (kentut).
  2. Hilang akal dengan sebab gila atau mabuk atau sakit.
  3. Tidur nyenyak, kecuali tidur orang yang duduk, yang tetap kedua papan punggungnya.
  4. Bersentuh kulit lelaki dan kulit perempuan yang halal berkahwin dengan tidak berlapik dan keduanya telah dewasa.
  5. Menyentuh qubul atau dubur manusia dengan tapak tangan tidak berlapik walaupun qubul atau duburnya sendiri.
Perkara-perkara yang diharamkan dengan sebab hadas kecil
  1. Mendirikan solat, sama ada yang fardhu atau yang sunat.
  2. Tawaf, sama ada yang fardhu atau yang sunat.
  3. Menyentuh Al-Qur’an atau menanggungnya.

No comments:

Post a Comment