Sunday 11 December 2011

2.2.2. Bersuci (Bersuci daripada hadas)

BERSUCI DARI HADAS
Bersuci dari hadas adalah wajib, dan hadas itu terbahagi kepada 2 bahagian;
  • Hadas besar.
  • Hadas kecil.

HADAS BESAR
Pengertian hadas besar
Hadas besar mengikut istilah syara’ ertinya sesuatu yang maknawi (kotoran yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar), yang berada pada seluruh badan seseorang, yang dengannya menegah mendirikan solat dan amal iadah seumpamanya, selama tidak diberi kelonggaran oleh syara’. Selama seseorang itu tidak menempuh atau melakukan salah satu perkara yang menyebabkanhadas besar, maka selama itu badannya suci dari hadas besar.
Sebab dinamakan hadas besar ialah kerana kawasan yang didiami atau dikenai ole hadas besar ini terlalu luas iaitu meliputi seluruh badan dan rambut.

Perkara-perkara yang menyebabkan kedatangan hadas besar
Seseorang itu disebut berhadas besar menakala menempuh atau melakukan salah satu daripada 5 perkara yang berikut;
  1. Melakukan persetubuhan atau jima’, iaitu memasukkan hasyafah (tempat yang terpotong bagi kemaluan lelaki) atau sekadarnya ke dalam faraj (qubul) atau dubur manusia atau binatang yang hidup atau yang telah mati.
  2. Kedatangan haidh iaitu darah yang keluar dari rahim perempuan sebagai menandakan kesihatannnya. Sekurang-kurang umur bagi perempuan yang mungkin kedatangan haidh iaitu lebih kurang 9 tahun.
  3. Keluar mani dengan sengaja atau tidak sengaja.
  4. Nifas iaitu darah yang keluar mengiringi kelahiran sewaktu beranak.
  5. Wiladah iaitu beranak yang tidak diiringi darah atau beranak yang diiringi basah sahaja.

Masa haidh dan masa nifas
Sekurang-kurang masa haidh bagi perempuan iaitu sehari semalam dan paling banyaknya 15 belas hari 15 malam, manakala yang biasanya ialah 6 malam atau 7 hari 7 malam.
Sekurang-kurang masa nifas pula ialah satu lahzah (sekelip mata) dan sebanyak-banyaknya iaitu 60 hari 60 malam, manakala yang biasanya iaitu 40  hari 40 malam.
Setelah darah haidh atau nifas itu berhenti maka wajiblah ia mandi seluruh badan (mandi wajib) untuk membolehkan ia melakukan ibadah solat dan lain-lain seumpamanya.

Masa suci antara 2 haidh
Orang perempuan yang sihat akan kedatangan haidh pada tiap-tiap bulan, tetapi haidhnya tidak melebihi 15 hari. Oleh itu ia adalah suci yang mewajibkan solat di antara masa haidh bulan yang pertama dengan bulan yang berikutnya.
Dengan demikian, sekurang-kurang masa suci ialah 15 hari 15 malam dan biasanya ialah 23 hari dan 23 malam, atau 24 hari 24 malam. Di samping itu  kebanyakan masa suci tidak dapat disamakan, disebabkan ada antara orang perempuan yang tidak pernah datang haidh seumur hidup, dan mereka yang sedemikian wajib melakukan solat sepanjang masa seperti orang lelaki.
Perkara-perkara yang diharamkan dengan sebab berhadas besar
  1. Solat , sama ada yang fardhu mahupun yang sunat.
  2. Tawaf (mengelilingi Ka’abah) sama ada yang fardhu mahupun yang sunat.
  3. Menyentuh Al-Qur’an ataupun memegangnya.
  4. Membaca Al-Qur’an.
  5. Berhenti dalam masjid.
  6. Berpuasa, sama ada yang fardhu mahupun yang sunat, bagi yang datang haidh atau nifas.
  7. Haram jima’ atau bersetubuh bagi perempuan yang haidh atau nifas.

Cara mandi mengangkat hadas besar
Ketika mulai mandi dengan menjirus air ke kepala atau badan, wajib berniat untuk mengangkat/menghilangkan hadas besar. Bacaan lafaz niatnya iaitu;

نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ اْلأَكْبَرِ لله تَعَالَى

Ertinya;
Aku berniat mandi untuk mengangkat hadas besar fardhu kerana Allah (SWT)Ta’ala.
Cara mandi hendaklah dengan menjirus (menyiram) air dan meratakannya hingga kesemua anggota badan termasuk rambut dan bahagian celah-celah anggota badan. Sah juga mandi wajib dengan cara menyelam ke dalam air yang banyak seperti sungai dan laut.
Sunat-sunat semasa mandi
  1. Dimulai dengan membaca ayat Basmalah.
  2. Membasuh tangan 3 kali.
  3. Membasuh kemaluannya.
  4. Berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung serta menghembusnya keluar.
  5. Mengambil wudhu’.
  6. Jirus air ke atas kepala 3 kali.
  7. Jirus air ke badan dengan mendahulukan anggota yang kanan.
  8. Menggosok-gosok badan.
  9. Setelah selesai mandi maka bacalah doa sebagaimana doa selepas wudhu

No comments:

Post a Comment